Wednesday, November 7, 2007

Fiksyen

sedutan dari novel yang tak kunjung siap

Apakah ada dengan cinta. Bila direnung ia cuma satu episod pendek tetapi mencuri segala detik usiaku. Bila berakhir seolah-olah masa sudah tiada. Emili gadis yang ku cinta, sekarang sudah pergi dari sisiku.

Kehilangannya mengakhiri satu episod yang sangat manis di dalam hidupku. Apa jika sudah kita curahkan segala jiwa raga untuk satu episod lalu episod itu berakhir, maka sudah wajar kita relakan segalanya sudah berakhir? Aku teringat kesah Yokio Mishima yang membunuh diri kerana sudah tidak yakin kepada manusia dan dunia. Mungkin dia merasa terlalu pintar untuk dunia ini. Mungkin juga dia menyangka akan dilahir semula suatu masa kelak dan dunia akan lebih pintar. Macamana dia boleh berharap mencari kesempurnaan dalam dunia yang tidak sempurna. Namun, hakikat segala kejadian ialah kesementaraan. Setiap yang berlaku ada permulaan dan ada penghujungnya.

Manusia memang tidak gemar kepada kesementaraan dan inginkan supaya hidupnya bukan sekadar menerima yang ada tetapi juga berharap punyai kudrat mengubah keadaan; mahu punyai kuasa menentu bila sesuatu itu akan bermula dan berakhir. Aku dan Emili dalam saat-saat saling asyik, tidak tau tepi dan hujung, bagai di tengah lautan luas tidak nampak tepinya; tentu tepi itu tetap ada cuma adakah kita berani menemuinya? Cinta itu satu keadaan dinamis, tidak mesti tidak akan bergerak ke arah yang di bawa oleh dinamika cinta itu.

Perlu diakui cinta itu cuma satu unsur untuk memenuhi asyik itu, seperti unsur dedebu yang mesti ada di awan supaya hujan bisa terjadi kerana selepas condensation dedebu diperlukan untuk membawa cairan menjadi rintik hujan. Kalau begitu percintaan itu seolah-olah tidak lebih daripada pemangkin supaya episod-episod kelangsungan hidup terus berlaku.

Adakah kalau begitu percintaan itu sesuatu yang mesti berakhir dan janganlah sesiapa mengharap cinta itu akan kekal? Paling boleh pun dia cuba memanjang-manjang episod cintanya. Taj Mahal. Oh yah, lambang cinta Jehan untuk Mumtaz, tapi jangan lupa, Mumtaz mati di saat keasyikan cinta sedang memuncak.

Teringat pula patung anjing di stesyen keretapi Shinjuku, lambang kasih haiwan kepada tuannya. Si anjing khabarnya menunggu tuannya yang pergi perang dunia ke-dua, tidak sempat balik sebab jadi korban perang. Si anjing pun mati kecewa dan kelaparan. Walau kecil dan bersifat anjing, nilainya sebesar Taj Mahal. Banyak lambang yang bersemadi di jiwa, seperti luka yang tidak nampak. Seperti luka di jiwaku kerana sebenarnya cinta ku pada Emili belum berakhir. Ah, sakit mengingatinya. Mujurlah boleh diringankan dengan rasionalisasi. Orang bilang pengukur kematangan ialah bila akal rasional mengatasi emosi. Tapi ada keseronokan barangkali bila kita biarkan diri kita dikuasai oleh emosi; ia suatu bentuk nafsu yang perlu dipenuhi. Ia mewarnai segala bentuk naluri yang ada pada manusia. Tentu kalau tiada emosi dalam naluri untuk makan misalnya, maka keseronokan aktiviti makan itu akan berkurangan. Lantas, manusia patut jaga emosinya supaya apa yang diwarnai oleh emosi itu benar-benar menjadi signifikan.

Emosi adalah akar segala ritos. Apa yang perlu kepada ritos membawa makna pada hidup kita. Itu simbol yang menandakan jiwa kita berkomunikasi dengan sesuatu yang lebih besar dari kita. Jadi, emosi berlandas naluri untuk mencari asal usul segala sesuatu.. itulah asas beragama. Tanpa emosi, tiada jiwa, tiada ritos, tiada agama.

Gadis Sarawak, dari keluarga berada; anak tunggal. Agama memisahkan kami. Katanya bercinta tidak bermakna mesti hidup sama. Ungkapan yang lumrah untuk golongan bercinta, tapi bagi orang yang siuman ia seperti bermaksud, aku tetap melihat kamu walaupun kamu disebalik tembok tebal. Bergantung siapa yang bercakap, siapa siuman dan siapa tidak adalah persoalan perspektif. Hakikat dan abtstraksi adalah persoalan perspektif, bezanya cuma satu bersandar pada objek solid, yang satu lagi bersandar pada bentuk-bentuk abstrak alam fikrah.

No comments: